Monday, November 8, 2010

Majalah Solusi 2


Majalah Solusi Edisi #2 dimulakan dengan artikel oleh Ustaz Zahazan Mohamed yang bertajuk ‘Nabi, Izinkan Aku Berzina’ mengupas isu zina dan larangan-Nya. Juga disertakan saranan kepada pasangan-pasangan Islam dengan langkah-langkah untuk menghindari zina. Beliau juga menulis dalam ruangan Kiasan dengan artikel bertajuk ‘Menceduk Air Telaga Yang Dalam Dengan Kedua Tapak Tangan’ dan juga artikel ‘Keyakinan Kepada Hari Kiamat’.

Seterusnya Ustaz Adlan Abd Aziz menghuraikan pengertian istiqamah yang menjadi kunci kejayaan hidup.

Pahrol Mohamed Juoi pula mengupas isu ‘Jangan Takut’. Terdapat pelbagai ketakutan yang menghantui diri kita yang perlu dikikis dan dikekalkan.  Beliau juga menulis artikel yang bertajuk ‘Bebas Daripada Allah?’. Isu ini mengupas bagaimana kita perlu mengikut syariat Allah dalam apa juga yang kita lakukan. Beliau juga menulis artikel bertajuk ‘Bila Cinta Hanya SUam-suam Kuku’ yang ditujukan terutamanya kepada pasangan veteran. Juga beliau menulis artikel bertajuk ‘Personaliti Tauhid’ yang berteraskan Islam, Iman dan Ihsan.

Apa akan jadi ‘Bila Yang Cerdik Tetapi Tidak Baik?’. Muhammad Jihad mengupas isu ini yang mana si cerdik perlu memperbetulkan diri menjadi daripada tidak baik kepada baik.

Rohidzir Rais mengupas topic ‘Cubaan Mengislamkan Teori Revolusi Temui Jalan Buntu’. Sekali lagi teori Darwin dipertikaikan kesahihannya walau pun teori ini cuba menyelewengkan Firman Allah terutamanya pada Surah Nuh ayat ke 14. Beliau juga menulis artikel yang bertajuk ‘ZIkir Menajamkan Fikir’ yang mengajak pembaca untuk mengamalkan zikir-zikir dalam kehidupan seharian. Selain itu, beliau berkongsi artikel tentang ‘Iktibar Dari Tabiat Anjing’.

‘Rahsia Belajar Berkumpulan’ tulisan Hj Muhammad Zakaria menggariskan 12 ciri-ciri belajar dalam kumpulan sesuai diaplikasikan oleh setiap pelajar. Juga diterangkan faedah belajar secara berkumpulan. Beliau juga menulis tentang kemiskinan melampau di Kemboja.

Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri pula menulis artikel bertajuk ‘Jenayah Dalam Islam’. Mengupas jenis-jenis jenayah, cara mencegah dan hukumannya mengikut Islam.

Hukum hakam berkaitan Tanah Haram Mekah dikupas oleh Ustaz Ahmad Husni. Apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan di Tanah Haram Mekah mesti diketahui oleh setiap umat Islam terutamanya bagi mereka yang ingin mengunjungi Tanah Haram Mekah sama ada mengerjakan haji atau umrah.

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman pula mengupas isu kewangan dengan topic ‘Tangguh Bayar Hutang Satu Penzaliman’. Beliau menyenaraikan institusi perbankan yang mempunyai lesen menjalankan operasi produk 100% menurut Syariah dan produk yang menepati Syariah. Beliau juga turut menjawab soal jawab muamalat dengan jawapan yang bernas.

Kaedah melatih anak-anak dengan latihan berterusan merupakan kaedah yang disarankan oleh Rasulullah. Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah menghuraikan topic ini dengan 5 kunci utama.

Hasrizal Abdul Jamil pula mengupas cara mendekati Islam supaya dapat mengelakkan Islam segera yang akhirnya merugikan seseorang yang ingin mendekati Islam.

‘Pakaikan Takwa Kepada Anak’ tulisan Rashidah Mustaffa mengajak ibu bapa melatih anak-anak supaya biasa berpakaian menutup aurat sejak dari kecil lagi. Beliau juga menulis artikel ‘Malu … Iktibar Pokok Semalu’.

Fatimah Syarha Noordin pula membawa anak muda yang masih bujang supaya usah risau jika belum berpunya. Beliau mengajak kita supaya merancang mengikut kepentingan diri terlebih dahulu, keluarga dan barulah merancang untuk berumah tangga.

Panduan urus pusaka dikupas dengan padat oleh Ustaz Ghazali Ibrahim dengan artikel bertajuk ‘Bila Penama Membolot Harta’. Artikel ini memberi pendedahan kepada pembaca agar mengetahui ilmu berkaitan pengurusan harta pusaka.

Mohd Azrul Azlen Abd Hamid yang berpengalaman dalam bidang motivasi dan penerbitan pula mengupas ‘Strategi Rasulullah Menyampaikan Visi’ yang tidak lain tujuannya adalah menghambakan dan mengabdikan diri kepada Allah.

Apakah hubungan sakit fizikal dengan kesihatan hati? Jaafar Salleh mengupas dengan lebih lanjut dalam artikel beliau. Juga didedahkan ubat dan penawar bagi 5 penyakit hati yang utama.

Ustaz Fadzil al-Yamani pula menjawab persoalan pembaca dalam ruangan ‘Soal Jawab Solat’ dan ‘Fardu Ain - Fiqah Amali’.

‘Romantik Itu Sunnah Rasulullah’ yang ditulis oleh Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood menceritakan petua dan sikap romantis yang perlu dikekalkan dan dilahirkan oleh setiap pasangan suami isteri.

Dato’ Dr Mahmood Zuhdi pula mengupas persoalan hukum ‘Makan Ulat Dalam Buah’, Dr Abdul Basit Hj Abd Rahman ‘Keindahan Islam’, Ustaz Badli Shah Alauddin  ‘Soal Jawab Munakahat’, Ahmad Fadzli Yusuf ‘Relaks … Jangan Terlalu Serius’, Ustaz Mohd Wahid Abd Hanif ‘Kemurkaan Allah Kepada Kaum ‘Aad’, Hj Ahmad Salim Omar ‘Kualiti Hati vs Kualiti Kerja’

Turut termuat dalam Majalah Solusi Edisi Ke 2 ini adalah ruangan Puisi, Pesan Nenek, Angguk Geleng yang merupakan cerita lucu dakwah dan juga ruangan Pelik Tapi Benar.

Majalah Solusi Edisi Ke 2 ini setebal 109 muka surat.

No comments:

Post a Comment